Poligami menurut Islam
Poligami sering menjadi isu masakini. Yang berilmu dipanggil bersuara dan yang jahil pun tiada kurangnya. Mari kita lihat sejarah poligami dan poligami oleh Rasulullah SAW.
Ketika mana Muhammad bin Abdullah saw diutuskan, masyarakat (jahiliyah) di sekitarnya mengamalkan poligami tanpa batasan perundangan akan bilangan isteri dan tidak dikenakan sebarang syarat.
Tertera dalam Kitab mereka, Old Testament, bahwa David (Daud) beristeri 100 isteri; Solomon Ben David (Sulaiman) mempunyai 700 orang isteri serta 300 orang hamba perempuan; Manakala adalah menjadi kebiasaan bagi orang-orang Arab memiliki lebih daripada 10 orang isteri.
Maka Islam datang dan mengeluarkan satu sistem yang tabi'iy bagi menyelesaikan masalah poligami yang berleluasa diamalkan oleh masyarakat jahiliyah turun temurun.
Maka turunlah wahyu dalam surah an-Nisa'(ayat 1-4). Maka Rasulullah saw pun membuat perisytiharan: "Mana-mana muslim atau yang baru masuk Islam, hendaklah memilih empat orang daripada mereka, dan melepaskan yang lain."
Manakala syaratnya diperketatkan oleh Islam yaitu keadilan suami.
Yang menjadi masalahnya ialah ketika itu isteri-isteri nabi ialah 9 orang. Maka al-Quran turun untuk memberi satu pemberian yang istimewa kepada Nabi yaitu mengekalkan kesemua isteri-isteri baginda. Jadi poligami 9 orang itu adalah satu kes yang khusus buat Nabi saja. Firman Allah yang bermaksud: "Engkau (ya Muhammad) tidak dihalalkan kawin lagi dengan wanita lain sesudah itu, dan tidak boleh pula menggantikan dengan isteri-isteri (baru), meskipun kecantikannya menarik hati kamu." (Surah Al-Ahzab: ayat 52)
Kesemua isteri Nabi diberi gelaran khusus oleh Allah dengan gelaran Ummul Mukminin (ibu bagi seluruh umat Islam). Firman-Nya yang bermaksud: "Nabi bagi kaum beriman adalah lebih utama daripada diri mereka. Isteri-isterinya adalah ibu mereka." (Surah Al-Ahzab: ayat 6). Kemudian Allah melarang umat Islam mengahwini isteri-isteri Rasulullah saw dengan firman-Nya yang bermaksud: "Kamu semua tidak boleh menyakiti Rasulullah dan kamu semua tidak boleh sama sekali mengahwini isteri-isterinya sesudahnya." (Surah Al-Ahzab: ayat 53)
Bayangkanlah kalau Nabi menceraikan 5 isterinya karena mengikuti syari'at poligami (beristeri empat), apa akan terjadi kepada janda-janda Nabi? Mereka tidak boleh berkawin selama-lamanya. Ini adalah satu hukuman yang berat. Kemudian kelima-lima isteri nabi tersebut telah dianugerahkan kalimah yang sangat mulia dengan gelaran Ummahatul mukminin. Maka menarik balik gelaran yang mulia ini akan meninggalkan kesan yang buruk dan sulit kepada mereka.
Kemudian, kebanyakan dari perkawinan Rasulullah saw perlu dilihat daripada beberapa sudut:
Baginda memulakan era perkawinannya dengan seorang janda yang sudah bersuami dua kali, yaitu Khadijah dan telah pun mempunyai anak dengan perkawinan yang dulu.
Kemudian, setelah Khadijah wafat dan baginda berumur 53 tahun, barulah baginda mula berpoligami.
Kemudian poligami baginda itu mempunyai pelbagai rahasia yang tersimpan dalam kitab-kitab sirah Islam yang asli. Antaranya:
Perkawinan baginda dengan Aisyah (anak Abu Bakar) dan Hafsyah (anak Umar), adalah implikasi pengukuhan hubungan persahabatan yang amat mendalam dengan sahabat-sahabat setia baginda: Abu Bakar dan Umar, memandangkan pengorbanan mereka kepada Islam. Baginda juga telah menikahkan dua puterinya kepada Uthman dan puteri kesayangannya Fatimah kepada Ali k.w.
Perkawinan baginda dengan Zainab binti Jahsh adalah perintah wahyu untuk memansuhkan satu budaya purba Arab: di mana Rasulullah telah mengawini janda bekas hambanya (Zaid).
Perkawinan baginda dengan Juwariyyah alHariths, Ummu Habibah binti Abi Sufyan dan Mariah Qibtiyah, adalah untuk maslahat politik demi perkembangan dakwah Islam.
Kesemua isteri-isteri Nabi itu adalah janda kecuali Aishah r.a.
Itulah beberapa contoh yang menunjukkan bahwa poligami baginda bukanlah 'double standard', tetapi satu maslahat dan anugerah yang khusus buat Nabi sebagaimana firman-Nya yang bermaksud:
"Bahwasanya kurnia itu berada di tangan Allah, Dia melimpahkan kepada siapa yang dikehendaki-Nya. Allah Maha Luas kurnia-Nya lagi Maha Mengetahui." (Surah Al-Imran: ayat 73)
0 comments:
Posting Komentar